Friday, December 9, 2011

cerpen : dilema



Cerpen: Dilema

Dia mengacau secawan Nescafe hangat berasap yang dicampuri dua sudu kecil serbuk Coffemate berdebu putih mulus di dalam cawan besar. Kemudian kaki diatur ke meja studi. Dia menyemak helaian demi helaian sebuah buku berjudul ‘Ada Apa Dengan Buku’, mencari perhentian terakhir pembacaannya sebelum ini. Dia mengeluh. Buku di tangan ditutup perlahan. Dia mencapai cawan besar tersebut, lalu menghirup isinya yang masih panas berasap. Pahit.
Dia melepaskan keluhan berat. Hatinya rusuh. Sebetulnya, jiwanya membuncah hebat lantaran mencerna buah tutur yang luruh dari bibir sahabat baiknya, Zinnirah lewat petang tadi. Tangan dan kakinya tiba-tiba terasa sejuk dan peluh dingin mula merenik di dahi. 
“Khaulah, kenapa ni? Tiba-tiba saja pucat?”
Dia hanya mendiamkan diri.
“Khaulah…?”
“Kenapa kau tolong dia, Ira?” Lirih suaranya.
“Dia yang minta sangat-sangat agar aku menolongnya, Khaulah. Pada mulanya aku tak mahu, tapi dia beria-ia dan bersungguh-sungguh, aku tak sampai hati. Lagipun dah lama dia suarakan keinginannya itu, Cuma aku yang tak beritahu kau kerana aku takut kau tak bersedia. Maafkan aku…” Zinnirah menekur meja Café bersisa air manis yang dihurungi beberapa ekor semut. Perasaan bersalah bertebaran ke langit rasa. 
“Kau tahukan aku tak suka keadaan macam ni?”
“Maafkan aku, Khaulah. Aku faham perasaan kau, tapi…tapi Hakim lelaki yang sangat baik. Dia kaya thaqofah, punyai karisma sebagai pemimpin dan manis peribadinya. Dia memang memiliki ciri-ciri lelaki yang selayaknya untuk menjadi suami dari sisi agama sekalipun. Khaulah…?” Zinnirah separuh memujuk. 
“Kau sebenarnya tak fahami aku, Ira. Kau tak mengerti perasaan yang bersarang dalam hatiku ini. Kau memang tak tahu!” Matanya mula digenangi air hangat. Dadanya sebu diasak sebak yang berombak. “Aku pulang dulu!” Dia bingkas meninggalkan Zinnirah yang terpinga-pinga. 
Dia menghirup lagi Nescafe pahit yang mula bertukar suam. Hatinya masih dihurung sebak. Wajah Faris tiba-tiba mengisi ruang. Lelaki berkulit kuning langsat bermata pasak dan berwajah persih dek simbahan wuduk yang pernah mencuri hatinya…

************************************************************


Tuk! Tuk!
Ketukan bertalu-talu yang bertingkah dengan suara halus merdu memberi salam memaksanya bingkas ke pintu kamar sambil menggenyeh mata yang masih terpisat. Pintu kamar dibuka lalu tersembul wajah bujur Zinnirah sambil menyungging senyum. Zinnirah yang bertudung litup kian terserlah manisnya apabila mengenakan mini jubah berona hijau lembut. 
“Tidur siang-siang hari, Khaulah? Kenapa, letih sangatkah?” Zinnirah menapak membuntutinya lalu duduk di atas tilam asrama yang agak keras.
Dia mengikat rambut yang sedikit kusut dengan getah berenda di tangan. “Letih, Ira. Tidur lewat sangat semalam. Siapkan assignment.” Matanya kuyu memandang Zinnirah yang masih mengulum senyum. Sisa mengantuk masih menghambat diri. Dia menguap. 
“Pergilah basuh muka! Teruk sangat aku tengok.”
Dia menguap lagi. Bantal peluk bercorak abstrak dipeluk, lalu merebahkan dirinya ke tilam keras. Matanya dipejam, berkira-kira mahu menyambung tidur. 
“Khaulah?! Cepatlah basuh muka. Aku ada benda nak cakap dengan kau ni,” gesa Zinnirah. Dia memekakkan telinga dan pura-pura berdengkur. Zinnirah bingkas merebut bantal peluk dalam dakapan sahabatnya itu lalu digeletek pinggangnya dengan jemari yang runcing. 
Dia terjerit kegelian. “Jahatlah kau! Suka betul ganggu aku tidur.” Dia merampas kembali bantal peluknya dari tangan Zinnirah. “Apa dia? Apa benda yang kau nak cakap dengan aku?”
Zinnirah menarik nafas dalam-dalam sebelum mengeluarkan sesuatu dari kocek bajunya. Sekeping sampul surat berona merah jambu dihulur. 
“Apa ni?” Dia terpinga. 
“Hakim. Dia minta aku serahkan kepada kau. Ada pesanan untuk kau dalam tu. Ambillah!” Zinnirah mengunjukkan sampul itu lebih hampir ke tangannya. 
Air mukanya mula berubah. Dia diam tidak berkutik. 
“Khaulah? Ambil ni. Baca dulu apa yang dia nak katakan tu.” Zinnirah meletakkan sampul itu ke dalam genggaman sahabatnya. 
Ibarat disihir, dia patuh. Jemari yang lentik mengoyak perlahan tepi sampul bergam. Sehelai kertas persih mulus yang dilipat kemas dibuka berhati-hati, lalu dibaca untaian kata yang beberapa ayat cuma. 


“Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum,
Pertama sekali inginku memohon maaf seandainya kedatangan warkah ini bisa mengocak tenang tasik hatimu. Bukan niatku untuk menuba kejernihan air yang mungkin sudah sedia rusuh di dasarnya, tetapi sekadar mengharap agar kail yang kulemparkan ke perutmu bisa terbalas dek khazanahmu yang tak ternilai. Kiranya tiada rezeki buatku, aku pasrah menjunjung takdir. Namun, aku tetap mengharap agar kailku bisa tersangkut jua sekalipun oleh serpihan kayu buruk. Agar tetap terubat hatiku melihat hasil yang pasti daripada hanya memandang sepi kail yang tidak berusik. 
Berilah jawapanmu barang sejuring buat aku yang setia menunggu. 
-Hakim Al-Qudsi”

Dia melipat kembali surat itu dengan hati kecamuk. Surat berkalih tangan dan Zinnirah pula tekun membaca. Dia terus mendakap erat bantal peluk di tangan sambil mata mencerling Zinnirah yang sesekali mengerut dahi cuba memahami isi surat yang puitis.
“Rupa-rupanya Hakim juga seorang pujangga. Serba mahir dia ini ya, Khaulah?” Zinnirah cuba memancingnya yang masih menyepi sedari tadi. 
Dia terus merebahkan badan ke bantal empuk bercorak bunga tulip ungu. Dia berkalih badan membelakangkan Zinnirah yang masih memuji-muji Hakim seakan mahu mempengaruhinya agar menerima kehadiran lelaki itu. Dia tetap membatukan diri. 
“Dia bukan sebarangan orang, Khaulah. Lelaki baik. Kaki masjid, petah berpidato. Nah, kau sendiri pun selalu mendengar dia memberi kuliah di masjid, kan? Kaya ilmu orangnya tu. Rupa pun ada. Apa lagi kau nak?” Zinnirah tersenyum sambil menepuk-nepuk bahunya persis mendodoikan anak kecil. “Ha, lagi satu, baru aku tahu dia juga seorang pujangga. Kau kan suka orang macam tu…”
“Khaulah, kau kena beri jawapan. Dia menagih jawapan daripada kau. Jangan buat dia lama menunggu.” Zinnirah memujuk. Digosoknya perlahan lengan sahabat yang dikasihi. 
Dia tetap keras membatu. 
“Khaulah, jangan menyeksa hatinya. Kalau nak, katakan ya! Kalau tak mahu, katakan tidak! Kau tak boleh membisu macam ni. Kau kena beri jawapan!” Zinnirah sedikit menekan suara, geram memandang sahabat yang tidak mengendahkan buah tuturnya.
Tiba-tiba dia terperasan bahu sahabatnya terhinggut-hinggut. Dia pantas menarik badan sahabatnya itu agar berpaling wajah menghadapnya. 
“Khaulah, kenapa ni?” Zinnirah terkejut memandang mukanya yang merona merah dengan mata bengkak digenangi air. Berjujuhan mengaliri pipinya yang putih gebu. Rasa bersalah mula menghambat hati lantaran meninggi suara kepada sahabat yang tidak diketahuinya sedang bermandi duka. 
“Khaulah, kenapa menangis ni? Adakah kata-kataku mengguris hati kau?” Zinnirah menggoncang badannya yang masih terhinggut-hinggut dihurung tangis. “Aku buat salahkah? Kalau aku bersalah, aku minta maaf banyak-banyak. Khaulah…?” Rasa sebak mula menghurung dada Zinnirah. Perlahan-lahan manik-manik mutiara halus mula berjuraian dari tubir matanya. 
Dia menyentuh lembut bahu Zinnirah yang diasak bersalah. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara. “Ira, kau tak bersalah. Tak ada pun salah kau padaku. Aku menangis bukan kerana termakan hati dengan kata-kata atau perlakuan kau. Tidak sama sekali. Jangan menangis, Ira,” pujuknya sambil cuba melakar senyum.
“Habis, kenapa kau tiba-tiba menangis? Kenapa kau menangis, Khaulah? Beritahu aku…”
“Sampai masanya nanti aku akan beritahu kau juga, tapi bukan sekarang. Bukan hari ni. Sekarang ni biarlah aku tenangkan diri aku dulu ya?”
Zinnirah tidak puas hati mendengar kenyataan sahabatnya itu, tetapi digagahinya juga untuk mengangguk. Bagaimanapun, hatinya tetap diserbu risau. Dia bingkas lalu mengucup dahi Khaulah yang sudah reda tangisnya.
“Ira,” panggilnya sebelum Zinnirah melangkah ke pintu. “Beritahu Hakim. Katakan padanya, aku tak dapat terima lamarannya. Maafkan aku.” Dia tersenyum pahit memandang Zinnirah yang berkerut-kerut dahi. Segera dia berpaling melarikan pandangan daripada tunak dicerlung Zinnirah yang sedikit terkejut mendengar permintaannya. 
Zinnirah meninggalkan kamar sahabatnya dengan hati celaru. 
Dia mengesat air mata yang masih bersisa di pelupuk mata yang sedikit bengkak. Mukanya terasa berkuap dek hangat air mata. Dia menarik nafas panjang. Dalam-dalam. Kemudian dilepas perlahan buat meredakan keserabutan yang bergumpal di dada. Tampang Faris mewajah di benaknya tiba-tiba. Dalam beberapa hari ini, wajah jernih itu sering menjelma, menambah kekusutan yang sedia berserabut. 
Lelaki yang berasal dari Terengganu itu merupakan lelaki pertama yang berjaya mencuri sekeping hatinya. Dia mengenali lelaki itu ketika sama-sama menuntut di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) sebelum dia mendapat tawaran belajar di sini- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sebaik sahaja tamat SPM, dia telah melanjutkan pelajaran di KUSZA sementara menunggu tawaran daripada universiti-universiti lainnya. Faris. Dia juga lelaki yang baik. Mekar santun harum budi. Namun begitu, bukan mudah pula untuk dia menerima lamarannya. Baginya, lamaran bukan bermaksud main-main atau sekadar suka-suka bagi mengisi kekosongan hati yang tak berpenghuni. Puas dia berfikir, jenuh dia berkira-kira, sehinggalah jaminan Faris pada akhirnya mahu mengikat tali pertunangan sebaik sahaja cuti semester terdekat membulatkan hatinya agar menerima lamaran itu. 
Dia memejam mata. Rapat. Mahu melupakan segalanya. Faris. Hakim. Zinnirah. Dia terlelap. 

*********************************************************************

Cuti hujung minggu, Zinnirah mengajaknya agar makan tengah hari di rumahnya di Ampang. Dia tidak menolak memandangkan tiada sesiapa di rumahnya selain ibu, ayah dan Zinnirah sendiri. Zinnirah merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Jika tidak, segan juga dia. 
“Macam mana asam pedas ikan tenggiri tadi? Sedap?” Soal Zinnirah ketika mereka duduk bersantai di bangku bawah pohon mempelam di belakang rumah. Suasana yang redup berangin terasa nyaman dan menyegarkan. 
“Sedap tu sedap, tapi pedas sangatlah kau masak, Ira. Pijar lidah aku ni masih tak hilang.” Dia menunjukkan lidah yang seakan terbakar dirasakannya. 
Zinnirah mengekeh ketawa. “Pedas macam tu pun kau tak tahan. Macam mana nak kahwin dengan orang Negeri Sembilan nanti? Belajar-belajarlah makan pedas, Khaulah…” Usik Zinnirah. 
Dia tersenyum kelat mendengar ocehan sahabatnya itu. Dia dapat mengagak, Zinnirah seolah sengaja mengaitkan dirinya dengan Hakim. Masakan dia tidak tahu, Hakim Al-Qudsi sememangnya orang Negeri Sembilan. 
“Khaulah, maaflah kalau aku bertanya.” Zinnirah merenung lembut riak wajahnya yang mula bertukar mendung. Dia membalas renungan itu, kemudian menekur ke tanah, seakan telah dapat membaca soalan yang bakal luruh dari kantung suara sahabatnya itu. “Kenapa kau menolak lamaran orang sebaik Hakim? Kau sendiri pun tahu, bukan senang nak jumpa orang sebegitu. Satu dalam seribu dalam dunia ni, Khaulah!” Zinnirah merenungnya tajam, menagih jawapan. 
Dia mematung. “Panaslah duduk di sini, Ira. Jom masuk!” Dia sengaja mencari alasan. Saat dia ingin bangkit, Zinnirah sempat menahan. 
“Khaulah?!” Zinnirah memaut lengannya. Redup renung mata Zinnirah memaksanya duduk kembali.
“Kau tak percayakan akukah, Khaulah? Dah lama kita bersahabat. Sejak di UIA Petaling Jaya membawa hingga ke sini, kita di tahun akhir UIA Gombak. Apa lagi yang kau sembunyikan daripada aku? Sebelum ini, kau sering sahaja meluahkan segalanya padaku. Kalau kau terpaksa telan pahit hempedu, aku sudi telan bersama. Begitu juga jika diberi manisan madu. Tapi hari ini, kau nak telan pahit seorang diri? Kau lupakan aku, Khaulah?”
“Tidak, Ira! Bukan macam tu.” Dia menggenggam erat jemari Zinnirah sambil menahan sebak yang mula memenuhi rongga dada. Rasa terharu dengan kemurnian hati seorang sahabat. “Aku bukan sengaja menyembunyikan rasaku ini daripada pengetahuan kau, tapi…” Dia keputusan kata-kata diasak sebak yang tak terbendung. Dia diam sejenak sambil mengesat manik-manik jernih di tubir mata. “Aku tak mahu buat kau bimbang. Lagipun masalahku ini sebenarnya kecil metah, Ira. Tak wajar aku merunsingkan akal fikir kau dengan masalah yang sebesar zarah ni.” Tangisannya sedikit reda. Dia menarik nafas dalam-dalam. 
“Jika benar sebesar zarah, masakan kau sampai menangis tiap kali aku menyebut tentang lamaran Hakim?” Zinnirah tidak percaya. “Adakah hati kau sebenarnya masih terpaut pada Faris? Benarkah Khaulah?”
Dia menggeleng. “Tidak, Ira. Sudah lama aku lupakan dia meski ia bukan perkara mudah. Cinta pertama dalam hidupku, Ira. Kata orang, itulah yang paling diingati dan dikenang-kenang. Tapi semua itu sekadar kenangan yang tak bererti buatku kini. Tak baik mengenang suami orang, Ira.” Dia terasa seakan menelan jadam yang terlekat di kerongkong. 
Ya, Faris sudah bergelar suami orang. Dalam usia seawal 20-an dan masih belum tamat pengajian, dia telah dikurniai seorang cahaya mata. Di matanya, Faris tetap lelaki yang baik meski suri hidupnya kini bukanlah dia. Dia anak yang taat kerana sanggup mengenepikan perasaan sendiri dan berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya demi mengeratkan tali kekeluargaan kedua-dua belah pihak yang bersahabat baik. 
“Habis, kenapa kau menolak lamaran Hakim?”
“Sebahagian diriku terasa seakan sudah mati, Ira.” Dia tidak menjawab soalan yang ditanya. 
“Kenapa?”
“Aku sebenarnya tidak sanggup untuk memberi dan menerima cinta lagi. Kau sendiri tahu aku pernah bercinta kan?”
Zinnirah mengangguk tenang.
“Orang sebaik Hakim…Semurni nama dan sesuci jiwanya. Setulus cintanya tidaklah layak untuk insan sehina aku, Ira.” 
“Kenapa kau cakap begitu? Adakah kau merendah diri?”
“Bukan. Aku insan hina kerana pernah membenarkan seorang lelaki yang bukan suamiku untuk menghirup madu cinta dari kelonsong hatiku. Takkanlah aku sanggup membiarkan suamiku menelan sisanya? Dia yang patut aku utamakan, tapi aku telah tersilap langkah, Ira.”
“Jadi, apa yang kau nak buat dengan sisa cinta itu?”
“Biarlah aku simpan sendiri.”
“Takkan selama-lamanya kau ingin terus begini?”
“Selagi aku mampu berterusan begini, beginilah aku, Ira.”
Zinnirah mengeluh berat. Rasa simpati datang bertimpa-timpa menghempap pundaknya. Dia memaut bahu sahabatnya itu. 
“Khaulah, kau gadis paling baik pernah aku temui. Kau gadis berakhlak, tertib adabmu, mulia peribadi… Aku tahu kau menyesal kerana pernah mencintai lelaki lain, dan aku yakin hati kau terseksa dengan apa yang telah berlaku.” Zinnirah melentokkan kepalanya ke bahu Khaulah. “Tidakkah kau tahu, Allah paling suka orang yang berbuat dosa, lalu dia bertaubat?”
Zinnirah mengangkat kepalanya lalu merenung muka sahabat yang bergerimis. Dia menyeka air mata yang bertamu di pipi. 
“Orang yang bertaubat itu sangat mulia di sisi Allah. Kau juga kena ingat, perempuan yang baik hanya layak untuk lelaki yang baik, begitu juga lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik. Kau adalah gadis yang baik. Dan Hakim juga lelaki baik. Dia lelaki baik yang diutus Allah untuk terus membimbing kau sepanjang hayat ini, Insya-Allah. Takkan kau tak mahu hidup kau dibimbing oleh lelaki soleh?” Zinnirah cuba meyakinkan. 
“Siapa kata aku tak mahu?”
“Habis?”
“Cuma aku takut seandainya hubungan ini juga tidak menjadi. Jika sungguh terjadi begitu, siapa lagi yang sanggup menghirup sisa cintaku?”
“Insya-Allah tidak akan terjadi begitu.” Zinnirah tersenyum.
“Kenapa kau seolah begitu yakin?”
“Lebih kurang seminggu sahaja lagi kita akan cuti semester. Dalam tempoh cuti selama seminggu itu, Hakim akan menghantar keluarganya untuk mengikat tali pertunangan dengan kau.”
Dia melongo tidak percaya. Matanya bulat membutang. 
“Sekarang kita di tahun akhir pengajian. Lagi dua bulan kita akan graduate. Selepas tu, pandai-pandailah kamu berdua merancang!” Zinnirah ketawa mengekeh. 
“Ira, kau biar betul! Bukankah kau dah beritahu Hakim yang aku menolak lamarannya? Ira?!” Dia seakan tidak percaya. 
Zinnirah menyungging senyum. “Aku belum beritahu. Aku tak puas hati selagi belum tahu sebab sebenar kau menolak lamarannya. Lagipun, aku dapat rasakan kau juga ada hati terhadapnya.”
Dia tersenyum, kemudian matanya merenung sesuatu yang tidak pasti di kejauhan. 
“Kenapa Khaulah?” Zinnirah ingin memecahkan bongkah persoalan yang menambak laut fikir sahabatnya.
“Kalau dia tahu aku pernah memberi cinta kepada orang lain sebelum dia, adakah dia masih menagih cintaku?” Dia memandang Zinnirah dengan pandangan sugul. 
Zinnirah mengangguk. 
“Kenapa kau sangat pasti, Ira?” Dia diterpa kehairanan.
“Kerana dia sudah tahu tentang latar belakang kau sebelum ini.”
Matanya terjegil. 
“Siapa yang beritahu?”
Zinnirah tersenyum dan mengenyit mata sebelum membuka langkah seribu. Dia mengejar di belakang dengan hati berbunga riang. 


TAMAT
by:diariustazah

0 bebelan comel:

viewed

asdiqaa'i ;)

getaran sukma