Friday, July 20, 2012

misteri syaitan dirantai


ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa ynag dimaksudkan dengan syaitan dirantai pada bulan Ramadhan, sedangkan kita menyaksikan ada orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, tempat-tempat maksiat masih dibuka dan sebagainya. 


Hadith yang berkaitan itu ialah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Apabila bulan puasa tiba, maka akan terbuka pintu-pintu syurga, tertutupnya pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dirantai."


Daripada hadith tersebut, dapat difahami dalam pengertian tersirat(majazi) dan secara tersurat(hakiki). Dalam pengertian majazi, hadith tersebut terkandung makna bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH. ALLAH melimpahkan ganjaran luar biasa serta dibuka pintu-pintu keampunanNYA.


Dengan melakukan sedikit amalan sahaja, manusia memperoleh ganjaran yang banyak dan dapat menyebabkanmereka ke syurga. Sehingga syurga dibulan tersebut bagaikan selalu terbuka. Neraka pula bagaikan tertutup, oleh kerana banyaknya pengampunan  daripada ALLAH. Oleh kerana manusia ketika itu mempunyai kesedaran yang tinggi, syaitan-syaitan pula bagaikan terbelenggu dan dirantai.


Jika hadith ini difahami secara hakiki pula, kita boleh mengatakan bahawa kederhakaan timbul akibat godaan dan rayuan nafsu. Pada bulan Ramadhan syaitan memang terbelenggu, tetapi nafsu masih tidak dibelenggu. Maka ada orang yang nafsunya tidak terkawal, mereka tetap melakukan maksiat dan kederhakaan.


Ulama-ulama menjelaskan bahawa ada perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan mengoda dengan tujuan merugikan manusia. Syaitan dapat mengubah rayuannya dari semasa ke semasa jika rayauan pertamanya gagal. Berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya sehingga apabila dia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubahnya dan terus mendesak sehingga keinginanya tercapai.


Rahsia ALLAH


Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan maksud syaitan dirantai pada bulan Ramadhan. Ada ulama berpandangan bahawa yang dirantai itu hanya syaitan tertentu sahaja. Namun ada juga yang berpandangan semua syaitan dirantai. Terdapat manusia yang berbuat maksiat dan dosa tanpa godaan syaitan kerana mereka(manusia) sendiri sudah menjadi 'syaitan'.


Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rhm., syaitan dirantai boleh ditakrifkan dengan maksud syaitan tidak boleh menggoda umat Islam selain Ramadhan kerana mereka sibuk dengan ibadah puasa, membaca al-Quran dan mengingati ALLAH.


Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya'awi dalam kitabnya Anta Tas'al wa Islam Yujib: ' Maksud hadith Rasulullah SAW tersebut ialah agar kita membuat situasi dan keadaan yang menjadikan syaitan-syaitan terbelenggu atau terantai dan tidak menggoda manusia untuk melanggar hukum dan melakukan dosa. Sehinggakan yang ada hanyalah amal-amal yang baik, dan pintu-pintu syurga terbuka.' 


Tidak Perlu Perbahasan


Ada ulama yang menyatakan bahawa hadith tersebut menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak diterangkan secara terperinci oleh syarak dan kita hendaklah menerimanaya tanpa perbahasan. Ini lebih selamat untuk agama seseorang.


Apabila Abdullah iaitu anak kepada Imam Ahmad bin Hanbal bertanya kepada bapanya tentang segelintir manusia yang diserang histeria pada siang hari bulan Ramadhan, Imam Ahmad menjawab:" Inilah yang disebut dalam hadith dan kami tidak membincangkannya."


Tambahan pula, apa yang jelas tentang maksud hadith adalah mereka terhalang daripada menggoda manausia kerana begitu ramai umat Islam yang mendekatkan diri kepada ALLAH pada bulan ini. Oleh sebab itu, maksud sebenar "syaitan dirantai" hanya ALLAH sahaja yang mengetahui. Ini tidak beerti kejahatan tidak berlaku atau manusia berhenti membuat dosa pada bulan Ramadhan.


WALLAHu'alam.


Moga ada manfaatnya.


(Rujukan: Solusi Isu 34(Misteri Alam Ghaib), Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif. m/s:105)

0 bebelan comel:

viewed

asdiqaa'i ;)

getaran sukma